30 Ahli Parlimen BN Dititah Menghadap AGONG Esok Pagi

30 Ahli Parlimen BN Dititah Menghadap AGONG Esok Pagi

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menghadap baginda esok.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, sesi menghadap terbabit adalah bagi membolehkan Agong buat keputusan untuk melantik Perdana Menteri ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan terbabit berkata sesi menghadap terbabit telah dijadualkan pada pagi esok.

“Adalah dimaklumkan bahawa lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional pada jam 4.30 petang ini di lstana Negara, proses seterusnya ialah sesi menghadap 30 ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional…

“Sesi menghadap secara individu ini dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi esok di lstana Negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut Ahmad Fadil, proses ini adalah bertujuan supaya Ke Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah…

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai…

“Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.