TAIPEI, TAIWAN – Empat individu meninggal dunia kerana keracunan makanan yang dikaitkan dengan sebuah restoran Malaysia, Polam Kopitiam, di Taiwan.
Menurut Taipei Times, Timbalan Menteri Kesihatan Taiwan, Victor Wang mengesahkan bahawa mangsa terbaru, seorang wanita berusia 40 tahun, meninggal dunia pada hari Isnin akibat kegagalan beberapa organ.
Ini berikutan satu lagi kematian yang diumumkan pada hari Sabtu lepas (27 April) juga disebabkan kegagalan beberapa organ.
Mangsa terbaharu, menurut New Straits Times, telah makan kuey teow di salah sebuah cawangan restoran tersebut di Xinyi pada pertengahan Mac. S
Selepas pulang ke rumah, dia mengalami gejala termasuk loya, muntah, dan cirit-birit.
Wanita itu telah berada dalam rawatan rapi selama lebih sebulan sebelum keadaannya merosot, menyebabkan keluarganya menghentikan rawatan kecemasan.
Selain wanita berusia 40 tahun itu, 34 orang lagi jatuh sakit selepas makan di restoran antara 18 dan 24 Mac, dengan tiga memerlukan rawatan rapi.
Keracunan tersebut disyaki berpunca daripada pencemaran asid bongkrek dalam makanan yang dihidangkan.
Pada masa ini, seorang daripada dua pesakit yang masih dalam rawatan rapi telah menjalani pembedahan pemindahan hati, manakala seorang lagi masih menerima rawatan di unit berkenaan.
Pada hari Jumaat, 29 Mac, pemilik Polam Kopitiam memohon maaf secara terbuka.
Menurut Focus Taiwan, pemilik berkenaan menunduk dua kali di hadapan pengamal media.
Peguamnya mankala berkata pemilik itu akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan siasatan dan telah dihalang daripada meninggalkan negara ini.






