
SEMPORNA, SABAH – Kelajuan internet di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pulau Bum Bum akan ditingkatkan sekurang-kurangnya ke 100mbps.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan kini dalam proses untuk meluluskan peningkatan kelajuan internet di Pulau Bum-Bum dari 20mbps ke 100mbps minimum.
“Pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan di Pulau Bum Bum ini sekarang kelajuan internetnya cuma 20mbps iaitu kurang dari 30mbps.
“Kita telah menyiapkan projek Point Of Presence (PoP) dengan kelajuan internet yang tinggi dan murah jadi saya rasa kemudahan internet di Pulau Bum Bum akan bertambah baik dan ini merupakan harapan kerajaan,” katanya semasa ditemui media ketika meninjau NADI Pulau Bum Bum.
Dalam tinjauan tersebut, Fahmi turut menyaksikan demonstrasi Proof of Concept (POC) Sihat Xpress, kerjasama antara MCMC dengan MEASAT dan Mudah Healthcare yang dimulakan di Kampung Togop Darat, Ranau.
Lebih 3,000 pengguna telah menggunakan perkhidmatan NADI yang terdiri daripada komuniti sekitar dan sambutan yang diterima amat memberangsangkan apabila merekodkan lebih 2,200 penyertaan komuniti dalam latihan-latihan dianjurkan.
Seramai 15 usahawan setempat berjaya dibimbing dan hasil jualan meningkat selepas menyertai program keusahawanan NADI.
Kementerian Komunikasi melalui MCMC sedang menambah sebanyak 14 NADI di Sabah menjadikan jumlah keseluruhan NADI di negeri ini meningkat sebanyak 132 berbanding 118 sebelumnya.
Inisiatif ini digerakkan bagi merevolusikan penyampaian penjagaan kesihatan khususnya di kawasan pedalaman atau luar bandar kepada semua peringkat lapisan masyarakat serta dapat diintegrasikan secara bersepadu dengan program Geran Digital PMKS MADANI sedia ada.
Turut hadir dalam program tersebut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa. — JABATAN PENERANGAN SABAH





