JKDM Tidak Wajar Diperkenal Di Sabah – PH Sabah

JKDM Tidak Wajar Diperkenal Di Sabah – PH Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah berpendirian tegas bahawa Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) tidak wajar diperkenalkan dan dilaksanakan di Sabah.

PH Sabah dalam satu kenyataan media berkata, baru-baru ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah.

Katanya, pindaan tersebut kini memberikan kuasa dan autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sabah. 

“Setiap wakil rakyat PH Sabah menyokong pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar yang berniat untuk memberi kuasa autonomi kepada kerajaan Sabah untuk menguruskan hal ehwalnya. 

“Kami mengalu-alukan sebarang peruntukan persekutuan yang diberikan kepada Sabah khususnya untuk pembangunan dan manfaat masyarakat luar bandar di Sabah.

“Kami juga percaya bahawa peruntukan sebegini sebaiknya diuruskan oleh Kerajaan Sabah untuk memberi makna dan penghormatan terhadap undang-undang negeri Sabah,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai gabungan kerjasama politik, kenyataan PH tersebut berkata, pihaknya menyedari bahawa terdapat banyak laporan dan spekulasi berkenaan dengan rakan gabungan Politik PH Sabah dalam menghadapi pilihan raya negeri Sabah akan datang.

Walaubagaimanapun, Pakatan Harapan Sabah masih belum membincangkan sebarang persefahaman atau kemungkinan gabungan baru yang akan dibentuk untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Namun begitu, PH Sabah tetap kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri serta menyokong kepimpinan Ketua Menteri YAB Datuk Seri Hajiji Noor dan mahu melihat kerajaan ini mencapai tempoh penuh.

“PH Sabah menggesa agar semua pihak memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini di bawah Kerajaan Madani,” tegasnya.