TAWAU: Polis Tawau berjaya menahan seorang lelaki warga asing asal Indonesia dan merampas dadah seberat 4.572 kilogram di Jeti Awam Pelabuhan Lama, Jalan Pelabuhan Tawau, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejayaan tangkapan keatas suspek berumur 25 tahun itu, adalah hasil maklumat orang awam.
“Susulan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Tawau telah bertindak pantas menangkap suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan bersama empat karung berisi dadah.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak kami telah menjumpai enam paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis Methamphetamine di dalam karung berkenaan,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, hari ini.
Jasmin berkata, hasil ujian saringan air kencing keatas suspek mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah dan suspek yang bekerja sebagai buruh itu kini ditahan reman selama tujuh hari.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Menurut beliau lagi, anggaran nilai rampasan dadah berkenaan bernilai RM274,320.00 dan pihaknya sedang berusaha mengesan rangkaian pemgedaran dadah ini bagi siasatan lanjut.






