
KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon telah mengumumkan perletakan jawatannya atas sebab-sebab peribadi yang beliau enggan dedahkan.
Susulan daripada itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini telah melantik Pau Marti Vicente sebagai pemangku Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya itu.
Memetik laporan Malaysia Gazzete, Vicente yang sebelum ini memainkan peranan sebagai penolong kepada skuad kejurulatihan Pan Gon akan mengendalikan skuad kebangsaan itu bagi menghadapi jadual padat perlawanan termasuk PestaBola Merdeka dari 2 hingga 10 September depan sebelum pelantikan tetap pengganti Pan Gon ditentukan kemudian.
Timbalan Presiden FAM Datuk Yusoff Mahadi berkata, agak sukar untuk pihaknya mencari pengganti tetap Pan Gon dalam masa terdekat memandangkan Harimau Malaya akan berdepan dengan beberapa perlawanan utama akan datang.
“Kita akan menilai persembahan kejurulatihan Vincente bersama skuad kebangsaan secara berterusan sepanjang tempoh tersebut khususnya perlawanan PestaBola Merdeka dan Piala AFF Mitsubishi kelak,” katanya dalam sidang media khas di Wisma FAM hari ini.
Pelantikan Vincente sebagai pemangku telah menempah fasa baharu untuk skuad kebangsaan yang perlu meneruskan perjuangan mereka tanpa dakapan dan sentuhan Pan Gon.
Keserasian dan hubungan mesra Vincente dengan pemain Harimau Malaya dan rangka kerja kejurulatihan yang sedia ada untuk skuad dijangka diteruskan sepenuhya ketika Malaysia sedang bersiap menghadapi beberapa perlawanan dan pertandingan.
Ditanya mengenai tempoh memujuk Pan Gon yang diambil kepimpinannya, Yusoff berkata pihaknya pada awal lagi tidak dapat menerima niat Pan Gon yang mahu meninggalkan skuad kebangsaan.
“Sudah tentu sekali kami tak dapat terima keputusan mengejut dari dia (Pan Gon). Dua minggu sebenarnya kita adakan perbincangan dan cuba sedaya upaya sehabis baik untuk minta dia ubah fikirannya dan kekal bersama pasukan.
“Tapi atas alasan peribadi terpaksa hormati keputusan coach (Pan Gon).. tak dapat diselamatkan, memang sangat terasa kehilangan dia, sebab dia, dah nampak kemajuan skuad di bawah dia.





