
KOTA KINABALU, SABAH – Irama gabungan empat pancaragam memukau 7,000 pengunjung Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2024, semalam.
Dengan durasi lapan minit, kumpulan persembahan pancaragam itu dijayakan 30 anggota gabungan Pancaragam Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah.
Menurut Pengarah Muzik Cawangan Pancaragam Polis Kontinjen Sabah, Inspektor Wilbono Zain, pihaknya turut dibantu oleh Lans Koperal PDM, Mohd Munir Jamil, Drum Major Tentera Laut Diraja Malaysia.
“Dalam persembahan ini, dua anggota Pancaragam Polis Kontinjen Sabah bermain gitar elektrik dan bass iaitu Lans Koperal Mohd Syazreen Nasri Zainuddin dan Lans Koperal Mushidi Moktar.
“Lagu yang dimainkan ialah ‘Pahlawanku’ ciptaan Yusoff B, lirik oleh S. Sudarmaji dan lagu dipopularkan oleh penyanyi Singapura, Sanisah Huri.
“Manakala, lagu kedua ialah ‘The Gael’ ciptaan Dougie Maclean berasal dari Scotland. Kedua-dua lagu ini berkisarkan perajurit ataupun pahlawan.
“Pada saya, persembahan gabungan ini menunjukkan hubungan yang erat, harmoni, saling bekerjasama dan silaturahim antara agensi keselamatan pada tahap yang terbaik,” jelasnya.
Selain kumpulan persembahan, Wilbono juga berperanan besar dalam menggubah lagu untuk mengiringi perjalanan acara yang berlangsung selama dua jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
“Jumlah keseluruhan Pancaragam PDRM, Tentera Darat, Tentera Laut dan Rela ialah 104 orang termasuk yang buat persembahan.
“Untuk gabungan ini, kita mengambil masa dua minggu untuk latihan dan saya dibantu oleh Pegawai Waran II Mohd Tarmizi Razali iaitu Drum Major Tentera Darat.
“Kami juga mengiring 25 kontinjen masuk ke Dataran Kawad dalam bermula jam tujuh pagi hingga selesai majlis,” katanya.
Sambutan Hari Pahlawan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. — JABATAN PENERANGAN SABAH





