PUTRAJAYA: Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 selama lebih 10 tahun layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh, mulai 1 Oktober depan, lapor Berita Harian, hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemohon bagaimanapun perlu memenuhi syarat ditetapkan termasuk menghadiri dan lulus program peralihan serta menyesuaikan diri dengan motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM) dengan bayaran RM160.
Katanya, pemohon perlu menjalani program latihan menunggang, maklumat pemanduan keselamatan dan maklumat pengendalian motosikal berkuasa tinggi, untuk tempoh dua jam sahaja.
“Menerusi program amal ini, pemohon perlu mendapatkan kelulusan tahap kebolehan mengawal motosikal berkuasa tinggi oleh ‘Qualified Training Officer’ (QTO) di IM.
“Pengesahan ini amat penting bagi memastikan tahap kecekapan dan kebolehan seseorang mengawal motosikal berkuasa tinggi, bagi meningkatkan tahap keselamatan pemanduan individu terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan di Kementerian Pengangkutan, di sini, pada Jumaat.






