Gempa Bumi Di Bandung Cederakan 81 Mangsa, 700 Bangunan Rosak

Gempa Bumi Di Bandung Cederakan 81 Mangsa, 700 Bangunan Rosak

0
SHARE
Bandung
Gempa bumi dengan kekuatan magnitud 5 yang menggegarkan Bandung pada pagi Rabu menyebabkan 82 mangsa cedera dan merosakkan 700 bangunan

BANDUNG, INDONESIA – Gempa bumi dengan kekuatan magnitud 5 yang menggegarkan Bandung pada pagi Rabu menyebabkan 82 mangsa cedera dan merosakkan 700 bangunan.

Pihak berkuasa masih memantau keadaan semasa bagi mengesan sebarang gegaran susulan dan meminta penduduk setempat terus berwaspada.

Gempa bumi itu juga menyebabkan pembatalan 14 jadual kereta api laju Whoosh dan menunda 11 perjalanan kereta api biasa.

Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jawa Barat, Hadi Rahmat, sehingga jam 2 petang, 700 unit bangunan kediaman terjejas akibat gempa bumi itu.

“Daerah Bandung mencatat kerosakan paling banyak dengan 491 rumah, manakala daerah Garut mencatat 209 rumah rosak,” kata Hadi, ketika BPBD Jawa Barat masih menilai tahap kerosakan di daerah lain, lapor agensi berita Antara.

Selain kediaman, gempa bumi turut merosakkan kemudahan awam seperti sekolah, hospital, pejabat, dan tempat ibadat. Sehingga kini, 81 dilaporkan cedera dari daerah Bandung dan seorang dari daerah Garut.

Daripada jumlah itu, 59 mengalami kecederaan ringan, manakala 23 lagi mengalami kecederaan serius. Semua mangsa yang cedera parah dipindahkan ke Hospital Bedas Kertasari dan Pusat Kesihatan Bedas, lapor Tempo.co.

Berdasarkan data pada jam 12:50 tengah hari, beberapa kampung di daerah Bandung seperti Tarumajaya, Cihawuk, dan Cibeureum turut terjejas, termasuk juga Margamukti dan Cikawao.

Di daerah Garut pula, kerosakan berlaku di Barusari, Pasirwangi, dan Sirnajaya. Jumlah kerosakan termasuk lapan rumah, dua kemudahan perubatan, dua kemudahan awam, sebuah sekolah, dan sebuah tempat ibadat di daerah Bandung. Di daerah Garut, tujuh rumah dan sebuah sekolah rosak.

Sementara itu, PT Kereta Api Cepat Indonesia China (KCIC) segera melakukan pemeriksaan ke atas landasan kereta api laju Whoosh bagi memastikan keselamatannya.

“Pemeriksaan menyeluruh ini mengambil masa kira-kira empat jam untuk memastikan tidak ada faktor yang boleh mengganggu pergerakan kereta api laju,” kata Pengurus Besar Sekretariat Korporat KCIC, Eva Chairunisa.

Akibat gempa, jadual beberapa perjalanan kereta api laju Whoosh dari Stesen Tegalluar, Bandung, ke Stesen Halim, Jakarta, terpaksa dibatalkan demi keselamatan penumpang.

PT KCIC turut memohon maaf atas gangguan ini dan memastikan pemulangan wang sepenuhnya kepada penumpang yang terjejas.

Gempa bumi yang disebabkan oleh rekahan geseran Garsela itu turut dirasai di beberapa kawasan di Jawa Barat termasuk Bandung, Cimahi, dan Garut. BPBD Jawa Barat terus memantau dan menilai keadaan bagi memastikan keselamatan penduduk.