SEPANG, SELANGOR – AirAsia akan memperluas rangkaian penerbangan domestik di seluruh Malaysia dengan menambah 2,000 penerbangan mingguan dan sejumlah 150,000 tempat duduk ke 40 laluan utama menjelang akhir tahun ini.
Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat sempena akhir tahun, pengembangan ini akan menawarkan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada para tetamu tempatan dan serantau untuk menghubungkan mereka ke destinasi menarik di seluruh Malaysia.
Inisiatif ini menekankan komitmen AirAsia untuk meningkatkan rangkaian dan memastikan perjalanan lebih mudah untuk diakses serta berpatutan untuk seluruh rakyat Malaysia.
Melalui pengembangan ini, bahagian pasaran AirAsia dijangka akan meningkat kepada 64 peratus, seterusnya memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor penerbangan di Malaysia.
Dengan keupayaan dan dedikasi untuk mengekalkan pengalaman perjalanan para tetamu pada tahap tertinggi, syarikat penerbangan ini berhasrat untuk terus menawarkan perkhidmatan terbaik dalam industri penerbangan yang dinamik dan mencabar.
Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata pihaknua komited untuk sentiasa bersedia berkhidmat kepada rakyat Malaysia dengan menawarkan nilai hebat, lebih pilihan dan perjalanan mudah.
“Pengembangan rangkaian penerbangan domestik ini adalah bukti komitken kami dengan sejumlah 1.7 juta tempat duduk tersedia untuk tempahan menjelang bulan Disember 2024.
“Kami bukan sahaja memenuhi keperluan perjalanan rakyat Malaysia malah menawarkan lebih pilihan kepada pelancong serantau untuk meneroka dan mengunjungi destinasi menarik, warisan budaya, serta merasai sajian terkenal di Malaysia.
“Seperti syarikat penerbangan lain, kami juga sedang menghadapi cabaran seperti kekurangan pesawat dan gangguan rantaian bekalan.
“Kami bersedia untuk menangani isu-isu ini dengan perancangan yang teliti, kecekapan operasi dan pemulihan perkhidmatan bagi mengurangkan impak kepada para tetamu untuk memastikan mereka tiba ke destinasi dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya juga berbangga dengan sumbangan berterusan AirAsia kepada sektor penerbangan Malaysia yang memainkan peranan penting dalam menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai salah satu hab mega syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) terkemuka di dunia.
“Pertumbuhan dan keupayaan bahagian pasaran kami bukan sekadar menambah laluan penerbangan, tetapi memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi negara dan meningkatkan rangkaian penerbangan.
“Usaha ini tidak dapat dilakukan oleh AirAsia sahaja. Justeru, kami menyeru semua pihak berkepentingan seperti pihak kerajaan, lapangan terbang, organisasi pelancongan dan pemain industri lain untuk bekerjasama secara kolektif dalam menjadikan perjalanan lebih mudah diakses dan berpatutan untuk semua, terutama rakyat Malaysia.” katanya.






