LAHAD DATU, SABAH – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) meletakkan tiada lagi pencerobohan kali kedua dan sifar penculikan atau Kidnap For Ransom (KFR) sebagai dua misi utama ESSCOM.
Demikian amanat Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos kepada seluruh warga ESSCOM semasa Majlis Perhimpunan ESSCOM bersempena dengan pelancaran logo dan bendera ESSCOM serta peta Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) yang baharu.
Susulan itu, Victor berharap melalui penjenamaan ini akan menyemarakkan lagi semangat seluruh warga ESSCOM dalam merealisasikan dua misi utama itu tadi seterusnya menjadikan ESS Zone sebagai tempat yang selamat dan sejahtera.
“Justifikasi penjenamaan ESSCOM dan ESS Zone ini penting bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan di ESS Zone bertujuan membangunkan sosioekonomi di pantai Timur Sabah.
“Justeru, saya dengan rendah hati memohon kerjasama penuh dan bantuan daripada rakan-rakan media supaya membantu ESSCOM menguar-uarkan perkara ini dalam pemberitaan demi mencapai hasrat memajukan pantai Timur Sabah,” tambah Victor lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali semasa menyampaikan aluannya menyeru seluruh warga ESSCOM menghayati nilai dua akronim yang diperkenalkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar iaitu MERDEKA dan MALAYSIA dalam penugasan seharian.
Terdahulu penjenamaan logo dan bendera ESSCOM serta warna peta ESS Zone telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 25 Julai 2024 yang lalu.
Pada majlis sama yang dihadiri oleh 130 orang warga ESSCOM ini, turut diadakan pelancaran sistem e-Keanggotaan ESSCOM dan e-Demografi ESS Zone secara ‘in-house’ bertujuan memudahkan urusan kerja seharian warga ESSCOM.
Pewujudan sistem ini didasari oleh penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau AI dan hasrat ESSCOM bukan sahaja untuk dikenali sebagai pusat keselamatan di pantai Timur Sabah tetapi juga sebagai pusat maklumat di ESS Zone.
Turut hadir Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin.