KOTA KINABALU, SABAH – Dari Sabah ke Kuala Lumpur dan Singapura, syarikat penganjur konsert JeeHarris Entertainment membawakan penyanyi terkenal antarbangsa, Akon dalam konsert istimewa ‘AKON THE SUPERFAN TOUR’ di dua buah lokasi, iaitu Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 19 November dan Arena @ Expo Hall 7, Singapura pada 20 November ini.
Setelah melengkapkan konsert jelajahnya di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), Akon akan menggegarkan Malaysia dan Singapura pada November depan sebagai antara lokasi persinggahan untuk konsert jelajahnya di Asia dan Asia Tenggara.
“Akon adalah artis antarabangsa pertama yang dibawakan oleh JeeHarris Entertainment selepas kami membawakan dua kumpulan popular Indonesia, Armada dan Ungu ke Kota Kinabalu pada tahun lalu.
“Konsert ‘AKON THE SUPERFAN TOUR’ ini menandakan langkah awal kami melebarkan sayap ke pasaran penganjuran konsert di Kuala Lumpur dan Singapura,” kata Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif JeeHarris Entertainment, Harris Baba.
JeeHarris Entertainment merupakan penganjur konsert dan acara yang tidak asing lagi di Sabah.
Dalam setahun, JeeHarris yang dikemudi oleh penyanyi dan pelakon Harris Baba berjaya mengadakan lima acara dan konsert di Sabah.
Antara senarai acara mereka termasuk Konsert Ungu di Bawah Bayu, Konsert Armada Janji Bahagia, Borneo Mega Raya Fest 2024 dan Family Fiesta #MariMakanMinum.
“Alhamdulillah, selepas berjaya menganjurkan lima acara termasuk dua konsert di Sabah dalam setahun, JeeHarris sudah bersedia untuk menjadi salah satu penganjur konsert terkemuka di Kuala Lumpur dan Singapura.
“Kami dengan bangganya mempersembahkan Konsert ‘AKON SUPERFAN TOUR’ sebagai langkah awal kami selaku penganjur konsert di Kuala Lumpur dan Singapura.
“JeeHarris sudah membuat persiapan sejak Januari tahun ini, untuk membawa Akon ke Malaysia dan Singapura. Apa yang istimewanya ialah, JeeHarris merupakan satu-satunya promoter yang mendapat hak eksklusif untuk menganjurkan Konsert ‘AKON THE SUPERFAN TOUR’ di dua buah negara.
Akon – penyanyi, komposer, penerbit dan ahli perniagaan – mula mencipta nama menerusi album sulungnya ‘Trouble’, yang dilancarkan pada tahun 2004.
Antara single ‘hit’ dari album tersebut, termasuk ‘Locked Up’ dan ‘Lonely’ yang turut melonjakkan namanya di pentas antarabangsa.
Harris berkata pihaknya merancang untuk membawakan lebih banyak artis antarabangsa ke Kuala Lumpur dan Singapura.