KOTA KINABALU, SABAH – Seramai enam individu berumur antara 40 hingga 47 tahun telah ditahan serta wang tunai berjumlah RM1,412,932 turut dirampas semasa serbuan dalam Operasi Jenayah Rentas Sempadan (JRS) Daerah Tawau semalam.
Dikoordinasikan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama-sama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, kesemua individu terbabit ditahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 196, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, beberapa peralatan seperti telefon dan dokumen serta fail-fail berkaitan turut dirampas semasa operasi dijalankan.
“Selaras dengan kejayaan Op JRS ESSCOM yang dilaksanakan pada Jumaat yang menyasarkan sembilan buah premis di Daerah Tawau, ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada petugas seramai 84 orang terdiri daripada pegawai dan anggota dari LHDN, PDRM Bukit Aman serta ESSCOM.
“Objektif utama operasi adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selain bertujuan membanteras penyeludupan barang tidak bercukai secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.
“ESSCOM komited dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya di ESS Zone bagi menyokong pembangunan negara dan pengukuhan sosioekonomi masyarakat berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat Agenda Malaysia MADANI dicapai,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.






