
KOTA KINABALU, SABAH – Pelaksanaan Hari Sukan Negara (HSN) merupakan platform terbaik bagi menerapkan budaya bersukan dan riadah dalam kalangan masyarakat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelaksanaan tersebut turut menjadi wadah perpaduan rakyat dan mengetengahkan konsep Malaysia Madani Sukan Baharu dan sukan rakyat untuk penyatuan kesejahteraan.
“Melihat ramai yang hadir pada hari ini khususnya warga Keningau dan daerah sekitarnya menunjukkan komitmen dan semangat tinggi rakyat Sabah untuk memeriahkan HSN 2024.
“Ini menunjukkan bahawa masyarakat Sabah sentiasa sedar bahawa bersukan satu amalan gaya hidup yang sihat.
“Saya menyeru kepada semua rakyat di negeri ini dapat menggunakan kemudahan sukan yang sedia ada untuk memastikan kecergasan tubuh dapat ditingkatkan.
“Di samping itu, seiring dengan hasrat kerajaan agar rakyat di negara ini perlu mencapai sasaran 50 peratus daripada jumlah penduduknya aktif dalam sukan, riadah dan kecergasan menjelang tahun 2030, saya percaya matlamat ini dapat dicapai dengan adanya sokongan menyeluruh daripada masyarakat, sektor awam, swasta, persatuan sukan dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin dalam Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara 2024 Peringkat Negeri Sabah di Padang Hoki Kompleks Sukan Keningau, pada Sabtu.
Beliau turut menyatakan kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM27.13 juta dalam mengurus dan membangunkan industri sukan negeri Sabah.
“Sabah mempunyai visi untuk melahirkan atlet bertaraf dunia dengan berlandaskan tiga teras utama iaitu Sukan Prestasi Tinggi, Industri Sukan dan Sukan Massa.
“Seiring dengan usaha kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai atlet yang bertaraf dunia, saya mahu Kementerian Belia dan Sukan terus membangunkan sukan di negeri ini sekaligus melahirkan atlet yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Hari Sukan Negara 2024 tersebut dilancarkan secara serentak di seluruh negara pada hari ini dan daerah Keningau menjadi tuan rumah acara tahunan peringkat negeri Sabah.
Acara itu turut diadakan di lima daerah lain iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort,
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun, Pengerusi Lembaga Sukan Negeri, Masly Wahip, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan, Apui Jan, Pegawai Daerah, Peter Jonu Moinjil, Pengurus Lembaga Sukan Sabah, Edward Pudin dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Mohd Asneh Mohd Noor. — JABATAN PENERANGAN SABAH





