Tun Musa Aman Zahir Ucapan Takziah Atas Pemergian Tun Ahmad Shah Abdullah

Tun Musa Aman Zahir Ucapan Takziah Atas Pemergian Tun Ahmad Shah Abdullah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mantan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmad Shah Abdullah yang telah kembali ke rahmatullah malam Selasa.

Tun Musa bersama Toh Puan Datuk Seri Panglima Faridah Haji Tussin dan keluarga turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Menurut Tun Musa, sepanjang hayatnya, Allahyarham Tun Ahmad Shah telah melaksanakan amanah sebagai Yang di-Pertua Negeri serta pelbagai jawatan lain dalam kerajaan dengan penuh dedikasi dan komitmen.

“Allahyarham merupakan seorang tokoh yang jujur, ikhlas, berbudi pekerti mulia dan disenangi oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Tun Musa turut menziarahi jenazah Allahyarham di Hospital Pakar KPJ Sabah kira-kira jam 11 malam, sejurus menerima khabar duka mengenai pemergian mantan pemimpin itu.

Beliau diiringi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Ariffin Ariff, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun serta Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar.