Jannie Diingatkan Jangan Pandang Rendah Calon Bebas – Mohd Fadli

Jannie Diingatkan Jangan Pandang Rendah Calon Bebas – Mohd Fadli

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jannie Lasimbang yang mendakwa tindakan bekas Ahli Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Kepayan, Cyril Liew, untuk bertanding sebagai calon bebas sebagai “terdesak” merupakan kesilapan besar dan penghinaan terhadap suara rakyat di peringkat akar umbi.

Menurut Presiden Pertubuhan Prihatin Rakyat Sabah (PPRS), Datuk Mohd Fadli Fathullah, pihaknya telah menerima pelbagai aduan daripada penduduk di kawasan tersbut yang mendakwa banyak isu tidak ditangani dengan berkesan. 

“Rintihan dan keperluan rakyat dilaporkan sering dipandang remeh, malah ada yang mengadu tidak pernah melihat wakil rakyat mereka turun padang.

“Ekoran situasi tersebut, Cyril Liew mengambil keputusan untuk bertanding atas tiket bebas, satu tindakan yang bukan sahaja berani, tetapi juga tepat pada masanya.

“Langkah ini bukan satu keputusannya secara peribadi, tetapi lahir daripada desakan dan harapan masyarakat yang mahukan perubahan sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fadli mengingatkan Jannie agar tidak perlekehkan calon bebas seolah-olah tidak mempunyai kredibiliti atau sokongan.

“Mereka juga bertanding demi rakyat dan demi membangunkan kawasan yang telah lama terpinggir.

“Sudah tiba masanya pemimpin muda dan berwibawa tampil ke hadapan membawa suara generasi baharu yang lebih prihatin terhadap realiti hidup rakyat Sabah,” katanya.

Fadli juga yakin bahawa gelombang perubahan di Sabah semakin kuat dan calon bebas bukan lagi boleh dianggap sekadar “pengacau” tetapi alternatif sebenar kepada politik lama yang meminggirkan rakyat.