KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan, akan meneruskan Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi pada Rabu (11 Jun) di Dewan Serbaguna Libaran, Sandakan.
Program ini adalah siri jelajah keempat selepas Beaufort, Ranau dan Tenom, bertujuan menyampaikan bantuan, latihan, dan pembiayaan terus kepada komuniti wanita muda di akar umbi.
“Setiap daerah ada cabaran dan potensi tersendiri. Program ini direka khas agar pendekatannya sesuai dengan keperluan setempat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul.
Beliau turut menekankan bahawa wanita adalah pemacu utama pembangunan ekonomi luar bandar.
“Wanita merupakan penggerak ekonomi akar umbi paling efektif, dengan potensi dan keupayaan besar menyumbang kepada Sabah,” katanya.
Antara pengisian program separuh hari ini termasuk sesi perkongsian oleh usahawan berjaya seperti Masna Osman (Nana Puteri Beauty & Wellness) dan Rahimah Asrah (Koperasi Wanita Berjaya Batu Sapi), selain pendedahan kepada Skim Pinjaman DAYANG oleh SCC dan literasi digital.
Kira-kira 600 peserta dari Libaran dan kawasan sekitarnya dijangka hadir.






