AS Ambil Pendekatan Tunggu Dan Lihat Janji Rusia Mengurangkan Operasi Tentera Di...

AS Ambil Pendekatan Tunggu Dan Lihat Janji Rusia Mengurangkan Operasi Tentera Di Ukraine

0
SHARE
Kellihatan bendera Ukraine dan Rusia, di mana Turki menjadi tuan rumah kepada rundingan damai kedua-dua negara berkenaan. - Foto Reuters...

WASHINGTON, AS – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata As akan mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat terhadap ikrar Rusia yang berjanji untuk mengurangkan operasi ketenteraanya di Ukraine.

Biden bersama beberapa pegawai tertinggi pentadbirannya menyuarakan pendirian berhati-hati terhadap janji Rusia itu.

Katanya lagi, As juga akan mengambil pendekatan yang sama untuk melihat sebarang petunjuk berkenaan penyingkiran tentera Kremlin di Ukraine sebelum membuat sebarang penilaian berhubung ‘niat sebenar’ Moscow.

“Kita nantikan. Saya tidak mempercayainya sehingga melihat sendiri tindakan yang mereka ambil.

Kita akan melihat sama ada Rusia mengotakan apa yang dijanjikan,” kata Biden ketika berucap di White House, lapor CNN.

Pendirian Biden itu menunjukkan sikap skeptikal AS terhadap motif sebenar Presiden Rusia, Vladimir Putin di tengah-tengah pencerobohannya ke atas Ukraine.

Meskipun pasukan perisikan AS dilaporkan mengesan pergerakan tentera Rusia yang menjauhi bandar Kiev, masih terdapat keraguan mengenai sama ada serangan di Ukraine akan tamat dalam masa terdekat.

Ini kerana, beberapa pegawai Barat melihat tindakan Moscow itu sebagai latihan taktikal semata-mata. Pegawai AS juga mendakwa Rusia boleh menarik balik kata-katanya sekiranya keadaan mengizinkan.

Sementara itu, menurut akhbar Daily Mail, Moscow telah memanggil balik sebilangan tenteranya dari Kiev selepas mengumumkan janji untuk mengurangkan aktiviti ketenteraan dalam rundingan damai yang berlangsung di Turki.

Pasukan risikan AS dan Britain mengesan pergerakan Pasukan Taktikal Batalion Kremlin yang menjauhi bandar Kiev, selepas Timbalan Menteri Pertahanan Rusia, Alexander Fomin berikrar bahawa tenteranya akan mengurangkan operasi di ibu negara Ukraine itu serta Chernihiv.

“Terdapat pengurangan aktiviti pengeboman di Kiev, sebahagian besarnya kerana askar Ukraine berjaya mematahkan serangan Rusia di barat laut bandar itu…

“Bagaimanapun, pertempuran masih berlangsung. Aktiviti pengeboman berskala besar masih berlaku di Mariupol dan kawasan-kawasan lain.

Jadi, kami mahu melihat Rusia menarik diri secara menyeluruh dari wilayah Ukraine,” kata Downing Street.

Dalam pada itu, Turki, yang menjadi tuan rumah kepada rundingan damai Rusia-Ukraine menyambut baik keputusan Moscow untuk mengurangkan operasi ketenteraannya dan berharap agar Putin dapat mengurangkan aktiviti pengeboman di Ukraine.

“Kementerian Pertahanan Persekutuan Rusia membuat keputusan untuk secara radikal mengurangkan  operasi ketenteraan di Kiev dan Chernihiv bagi meningkatkan persefahaman bersama serta mewujudkan syarat yang diperlukan untuk rundingan seterusnya,” kata Fomin.

Jurucakap delegasi Kiev juga berkata bahawa mereka mencadangkan untuk menerima pakai status neutral sebagai pertukaran untuk jaminan keselamatan. Ini bermakna Ukraine tidak akan menyertai pakatan tentera atau menjadi tuan rumah kepada pangkalan tentera.

Cadangan itu juga termasuk tempoh rundingan selama 15 tahun mengenai status Semenanjung Crimea dan boleh dikuatkuasakan hanya sekiranya gencatan senjata menyeluruh dilaksanakan, kata perunding di Istanbul.

Rundingan damai itu dilihat telah membuka jalan kepada pertemuan secara bersemuka antara Putin dan rakan sejawatnya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky bagi menghentikan perang antara kedua-dua negara.