Pesta Kalimaran Kaum Murut Mampu Menjadi Produk Pelancongan Antarabangsa

Pesta Kalimaran Kaum Murut Mampu Menjadi Produk Pelancongan Antarabangsa

0
SHARE
Jeffrey (duduk tiga kanan) berbual bersama Rubin. Turut kelihatan Ellron (kedua kanan) dan Peter (kiri)...

TENOM, SABAH – Pesta Kalimaran kaum Murut mampu diketengahkan untuk menjadi salah satu lagi produk pelancongan Sabah dengan kekayaan dan keunikan budaya masyarakat tersebut.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, keunikan kebudayaan dan kesenian pelbagai etnik di Sabah antara kekuatan Negeri ini dalam aspek pelancongan budaya.

“Kerjaan Negeri Sabah telah mengangkat dan mengiktiraf Pesta Kalimaran sebagai perayaan peringkat negeri yang pertama telah diadakan pada tahun 2003…

“Sejak dari itu, perayaan sambutan Pesta Kalimaran telah menjadi acara tahunan yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kalimaran ke-18 Peringkat Negeri Sabah di dataran Pekan Kemabong di sini, pagi tadi, bertemakan “Mempertahan Adat Istiadat dan Adat Suku Kaum Murut”.

Pelbagai kraftangan, makanan dan tarian tradisi masyarakat Murut yang terdapat di Sabah dipertontonkan termasuk simbol-simbol lama dalam bentuk lukisan dan ukiran di mana ia masih digunakan di sesetengah rumah tradisi suku kaum Murut.

Selain daripada aktiviti masyarakat Murut, pengisian seperti persembahan lagu-lagu Murut, peragaan pakaian tradisional, anugerah khas tokoh Kalimaran dan pertandingan cerita lagenda suku kaum Murut turut memaparkan lagi kekayaan serta keunikan kebudayaan dan kesenian etnik itu.

“Murut itu sendiri bukan sahaja kepada masyarakat Malaysia tetapi sebagai tarikan kepada masyarakat luar negara…

“Pembukaan pintu sempadan negara pada 1 April (esok) diharapkan akan membantu meningkatkan semula ekonomi negeri Sabah menerusi kehadiran pelancong ke Sabah.

“Saya melihat daerah Tenom juga mempunyai destinasi pelancongan yang menarik seperti Taman Pertanian Sabah, Pusat Kebudayaan Murut, Kopi Tenom, aktiviti white water rafting dan sebagainya selain tarikan kebudayaan dan kesenian masyarakat Murut,” tambah Jeffrey.

Dalam ucapannya itu, Jeffrey turut menyampaikan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong, Datuk Rubin Balang yang menjayakan penerbitan Kamus Murut Tahol dengan kerjasama daripada Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sabah baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap, Datuk Peter Anthony dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sook, Datuk Ellron Angin.