KOTA KINABALU: Gabungan politik utama kerajaan perpaduan persekutuan dijangka membentuk pakatan rumit menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Pakatan Harapan (PH) Sabah dilihat mampu bekerjasama dengan GRS yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Barisan Nasional Sabah (BN) diterajui Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Namun, GRS dan BN Sabah dijangka bertembung kerana hubungan dingin antara Hajiji dan Bung, yang membawa BN keluar dari GRS pada 2023.
Bung kini dikatakan mendekati Warisan dan KDM, namun kedua-dua parti itu mahu bertanding secara solo.
Memetik The Star, penganalisis politik UMS Prof Dr Romzi Ationg berkata perbezaan ideologi dan tuntutan kerusi menjadikan rundingan sukar.
“GRS mungkin bertanding sendirian atau bekerjasama dengan PH. Di peringkat negeri, parti masih boleh menyokong kerajaan Madani meskipun tidak bersekutu secara rasmi,” katanya.
Pemerhati lain pula menyarankan PH dan BN terus bekerjasama demi kestabilan kerajaan perpaduan.
Parti komponen GRS seperti STAR, SAPP dan Usno cenderung untuk GRS bergerak solo.
Warisan pula kekal untuk tidak membentuk pakatan, walaupun menyokong kerajaan perpaduan persekutuan.
KDM dijangka terbuka kepada pakatan jika dapat kerusi mencukupi, terutama 18 kerusi tradisi KDMR.






