KOTA KINABALU, SABAH – Disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan dan memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan (speargun), dua orang nelayan telah ditahan di perairan Pulau Sepanggar oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di sekitar pukul tujuh malam, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, sebuah bot nelayan tempatan dikendali seorang juragan dan seorang kru bot warga tempatan telah ditahan anggota Maritim Malaysia kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Mereka telah diringi masuk ke jeti Maritim Negeri Sabah Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
“Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim untuk tidak melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan bahan letupan kerana aktiviti seperti ini memusnahkan ekosistem laut, serta memusnahkan batu-batu karang yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut,” tegasnya.
Beliau turut berkata penggunaan peralatan seperti boleh menyebabkan kecederaan parah dan mengakibatkan kematian.
“Komuniti maritim dinasihatkan untuk hanya menggunakan peralatan yang telah dibenarkan sahaja dan mendapatkan lesen bagi pengunaan alat tersebut.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu mahupun pihak yang cuba menghalang pegawai Maritim Malaysia dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.