Promosikan Tawau Sebagai Syurga Makanan

Promosikan Tawau Sebagai Syurga Makanan

0
SHARE

TAWAU – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin mahu Majlis Perbandaran Tawau membangunkan pelancongan berasaskan makanan atau pelancongan gastronomi.

Ia berikutan, daerah Tawau yang begitu terkenal dengan statusnya sebagai “Syurga Makanan”.

“Kita mahu menarik pelancong untuk datang ke Tawau untuk merasai atau menikmati makanan yang dijadikan sebagai ” trademark” sesuatu kawasan”…

Masyarakat Tawau yang terdiri daripada pelbagai etnik, mewujudkan variasi citarasa makanan tersendiri yang turut melambangkan tradisi mahupun adat resam yang diamalkan.

Sebagai contoh, Masyarakat Bugis cukup dikenali dengan pelbagai adat dan tradisi termasuklah jenis-jenis makanannya yang unik dan menarik dari segi rasa serta cara pembuatannya. 

“Makanan tradisi mereka seperti Burasak, Barobok, Tumbu dan banyak lagi…

Jafry yakin, usaha menarik pelancong ‭ untuk datang ‬menikmati makanan bakal menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan di daerah itu.

Di samping itu, bagi mengukuhkan lagi produk pelancongan gastronomi, Produk dan aktiviti Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) juga perlu terus dibangunkan.

Tawau mempunyai kelebihan pusat pelancongan yang tersendiri khususnya dari segi kekayaan biodiversiti alam semulajadinya.

Antara tempat menarik yang kini sedang dinaiktaraf kemudahan infrastrukturnya adalah termasuk Batu Bersusun, Rumah Api Tinagat dan beberapa tempat lagi.

“Dengan kepelbagaian produk pelancongan ini, pastinya Tawau tidak hanya menjadi tempat persinggahan pelancong tetapi memastikan impian untuk menjadikan daerah ini sebagai destinasi pelancongan dapat dicapai”.

Beliau berkata demikian dalam satu lawatan kerja di Majlis Perbandaran Tawau siang tadi.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Pang Pick Lim@Joseph dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Dalam majlis itu juga, sesi libat urus bersama pengusaha pelancongan di Tawau turut berlangsung bagi membincangkan permasalahan yang dihadapi selain bertukar pendapat mengenai hala tuju pelancongan berasaskan komuniti.