KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan bahawa penutupan sementara sebahagian kawasan di Taman Tun Fuad Stephens dilanjutkan sehingga 14 Julai 2025 bagi memberi ruang kepada penyempurnaan projek pembangunan Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah yang kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 88 peratus.
Projek ini sepatutnya siap pada 21 Mei 2025 namun mengalami kelewatan disebabkan isu teknikal melibatkan perubahan reka bentuk dan material.
Berikutan itu, Jabatan Landskap Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan lanjutan masa dari 22 Mei hingga 14 Julai 2025.
Menurut kenyataan rasmi DBKK, kerja-kerja pembinaan yang masih berlangsung kini hanya melibatkan beberapa komponen utama seperti Pusat Botani, Pusat Konservasi serta ‘Botany Play Park’, iaitu taman permainan berkonsepkan alam semula jadi untuk kanak-kanak.
KPKT dan DBKK dalam kenyataan bersama turut menyatakan keprihatinan terhadap keluhan orang awam yang menantikan pembukaan semula taman tersebut. Namun, kedua-dua pihak menegaskan bahawa kelewatan ini adalah untuk memastikan transformasi taman ini dapat dilakukan dengan hasil yang berkualiti tinggi dan memuaskan.
Apabila siap sepenuhnya, Taman Tun Fuad Stephens akan dinaik taraf daripada sebuah taman rekreasi biasa kepada sebuah taman botani yang moden dan menjadi destinasi pelancongan baharu Sabah. Antara kemudahan menarik yang bakal disediakan termasuk trek joging baharu, plaza komersial, laluan ‘Lake Walk’ di sepanjang tasik, serta jambatan konkrit atau ‘Nostalgia Bridge’ yang dikelilingi laluan bunga ‘floral walk’.
Lebih menarik, taman ini juga akan menampilkan sebanyak 30,000 tumbuhan daripada 500 spesies termasuk pokok teduhan, pokok renek, palma dan orkid, yang akan ditempatkan di zon-zon khas seperti Taman Aroid & Orkid, Taman Nadir, Taman Buluh dan Taman Ethnobotany.
DBKK menegaskan komitmen mereka bersama KPKT untuk menyiapkan projek ini sepenuhnya dalam tahun 2025 dengan standard yang tinggi serta memberi lebih keselesaan dan kepelbagaian aktiviti kepada pengunjung pada masa akan datang.






