KIULU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menggesa Kerajaan Sabah supaya menambah kakitangan untuk menjalankan operasi Pengurusan Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) di Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
Tambah Madius, beliau difahamkan bahawa kakitangan di Unit Ukur PANTAS, JTU telah berkurangan dari 60 orang (iaitu terdiri daripada 12 Pasukan dengan 5 orang anggota satu Pasukan) kini hanya 8 Pasukan ataupun tinggal hanya 40 orang.
“Manakala kakitangan yang terlibat dengan dokumentasi yang dulunya 8 orang kini hanya tinggal lagi 3 orang,” katanya semasa merasmikan Majlis Dialog PANTAS yang diadakan di Dewan Kg. Lokos, Kiulu pada Selasa.
Madius turut menyatakan keprihatinan bahawa, akibat daripada kekurangan kakitangan tersebut, maka peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta ataupun RM20 juta setahun dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu dari tahun 2021 – 2025 tidak tercapai.
Ujarnya, berdasarkan sumber JTU, pencapaian perbelanjaan peruntukan; hanya RM68 juta (iaitu 20 juta Tahun 2021; RM6.97 juta (2022); RM10 juta (2023); RM20 juta (2024) dan RM12 juta (2025) dan tidak mencapai RM100 juta iaitu ada lagi RM31 juta yang belum dilaksanakan.
Selaku Ahli Parlimen, Madius berkata, beliau sentiasa bersuara di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia agar peruntukan dari Kerajaan Persekutuan dapat ditambah untuk memastikan agar tanah-tanah anak Negeri yang masih belum bergeran dapat dikeluarkan geran.
“Namun jika JTU tidak berkeupayaan untuk melaksanakan, maka sia-sialah perjuangan kita.
“Secara keseluruhan sudah tentu rakyat Sabah berterima kasih kepada kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah atas pelaksanaan Program PANTAS ini.
“Sejak pelaksanaan Program PANTAS pada tahun 2011 sehingga tahun 2025, ia telah menberi manfaat kepada 84,614 pemilik tanah hak tanah adat di seluruh Sabah dengan keluasan keseluruhan seluas 484,025,451 ekar.
Ujar Madius, Pusat Khidmat Parlimen Tuaran akan menghantar cadangan beberapa lagi buah kampung untuk penyukatan tanah anak Negeri secara PANTAS.






