KOTA KINABALU: Seramai 206 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dipindahkan ke negara asal melalui operasi pemindahan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah pada 12 Jun.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Papar terdiri daripada 119 lelaki dewasa, 43 wanita dewasa, 28 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan, berusia antara 11 bulan hingga 63 tahun.
“Kanak-kanak turut diiringi ibu bapa atau penjaga sah dalam pemindahan ke Zamboanga, Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua PATI telah selesai menjalani hukuman dan memiliki dokumen perjalanan sah yang dikeluarkan Kedutaan Filipina.
Setakat ini, seramai 4,970 PATI Filipina telah dipulangkan ke negara asal, menjadikan jumlah keseluruhan pemindahan PATI di Sabah mencecah 6,273 orang.
“Kami tidak akan berkompromi dengan warga asing yang menyalahgunakan pas dan kemudahan diberi. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap majikan dan pemilik premis yang menggaji mereka tanpa dokumen sah,” tegasnya.
Beliau turut menasihatkan majikan agar hanya mengambil pekerja asing mengikut saluran sah dan mematuhi undang-undang imigresen negara.






