Mayat Isteri Ditemui Ekoran Banjir Penampang

Mayat Isteri Ditemui Ekoran Banjir Penampang

0
SHARE
Ipd
Pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa wanita ke kenderaan Polis ( Sumber Foto: Ihsan IPD Penampang )

PENAMPANG, SABAH – Seorang wanita berusia 37 tahun ditemui meninggal dunia dipercayai akibat lemas dalam insiden banjir yang melanda daerah ini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton, wanita terbabit dilaporkan hilang pada pukul 10 malam Ahad.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa bersama suaminya dipercayai berjalan keluar daripada kenderaan mereka yang ditenggelami air berdekatan jalan Penampang Bypass.

“Mangsa dan suaminya telah terjatuh ke dalam sebuah longkang namun suami mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa telah dihanyutkan oleh arus deras,” katanya.

Sammy berkata operasi mencari dan menyelamat dijalankan sebaik maklumat kes diterima namun ianya terpaksa dihentikan pada pukul 11 malam berikutan paras air tinggi dan deras.

Operasi kemudian disambung semula pada pukul enam pagi keesokan hari bagi mengesan mangsa dengan pencarian tertumpu di kawasan kejadian.

“Mayat mangsa telah ditemui pada jam 8.00 pagi di Jalan Penampang Bypass oleh pasukan penyelamat kira-kira 500 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas dan mayat telah dibawa ke jabatan forensik Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (Sudden Death Report),” kata Sammy dalam sebuah kenyataan.

Dalam pada itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan semasa pihak berkuasa dalam keadaan cuaca yang tidak menentu agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.