KOTA KINABALU, SABAH – Polis Daerah Kota Kinabalu meminta kerjasama orang ramai mengesan dua orang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan hingga melibatkan kematian dan kecederaan di sebuah pusat hiburan di Bandaran Berjaya pada 16 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata kedua-dua mangsa bekerja sebagai anak kapal disyaki dipukul dan ditikam menggunakan objek tajam.
“Motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham. Suspek dikenali sebagai Herman dan Yusuf, bukan warga tempatan, yang dikehendaki pihak polis untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kedua-dua suspek boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat ASP Idrus Haji Arshad di talian 019-8233112 atau tampil ke mana-mana balai berhampiran bagi menyalurkan maklumat.
Dalam insiden awal pagi Ahad itu, mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 20 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) manakala rakannya berusia dalam lingkungan 20 tahun kritikal dan menerima rawatan di hospital sama.