KOTA KINABALU: Bekalan beras di Sabah berada pada tahap mencukupi dan terkawal, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, sambil menegaskan orang ramai tidak perlu panik susulan penularan maklumat tidak sahih berkaitan isu bekalan.
Beliau berkata, jaminan itu diperoleh selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Operasi Pejabat BERNAS Sabah, Hervian Kirman serta Timbalan Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Sabah, Rosman Shamsul, sebaik tiba di Kota Kinabalu, semalam.
Menurutnya, fenomena pembelian panik yang berlaku ketika ini bukan berpunca daripada kekurangan bekalan, sebaliknya didorong oleh penyebaran khabar angin yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Sejujurnya, fenomena pembelian panik di peringkat pengguna adalah sesuatu yang membimbangkan. Namun, keadaan ini bukan berpunca daripada kekurangan bekalan, sebaliknya didorong oleh penularan maklumat tidak sahih yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya di Facebook semalam.
Beliau berkata, tindakan menyebarkan maklumat tidak tepat bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah berpotensi mengganggu kestabilan pasaran.
“Hakikatnya, bekalan beras di Sabah ketika ini adalah mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal untuk menampung keperluan rakyat. Jaminan ini bukan sahaja disahkan oleh pihak BERNAS, malah Kerajaan Negeri turut mempertingkatkan pemantauan di seluruh rantaian pengedaran,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Chan menyeru orang ramai agar tidak melakukan pembelian secara berlebihan atau “hoarding” kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan kestabilan pasaran serta mengganggu akses pengguna lain.
“Kekal tenang, berbelanja secara berhemah dan percayalah kepada maklumat rasmi. Kerjasama semua amat penting bagi memastikan bekalan kekal stabil dan mencukupi untuk seluruh rakyat Sabah,” ujarnya.






