PENAMPANG: Polis Daerah Penampang mengesahkan sedang menyiasat satu kes amang seksual melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang berlaku di kawasan Putatan, Sabah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata pihaknya telah menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada Sabtu sekitar jam 8.09 malam.
“Kes ini melibatkan seorang pelajar perempuan yang didakwa menjadi mangsa amang seksual,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Laporan polis itu turut merujuk kepada satu video berdurasi 1 minit 34 saat yang dimuat naik ke media sosial dan menjadi tular sejak awal pagi Ahad.
Pautan video berkenaan telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa dan dipadam tidak lama selepas itu.
“Kes masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” ujar Sammy.
Menurut beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan dan melindungi identiti mangsa.
“Sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Insp. Kalista Demson di talian 011-33980319,” tambahnya.






