Dua ADUN Sabah Nafi Salah Laku Rasuah, Tekad Bersihkan Nama di Mahkamah

Dua ADUN Sabah Nafi Salah Laku Rasuah, Tekad Bersihkan Nama di Mahkamah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didakwa di Mahkamah Khas Rasuah hari ini tampil menafikan sebarang salah laku rasuah dan menyatakan keyakinan mereka terhadap sistem perundangan negara.

ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob, dalam kenyataan ringkas kepada media selepas prosiding, menegaskan bahawa beliau dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Muhammad Andi Suryady Bandy, tidak bersalah dan telah dimanipulasi oleh laporan media.

“Kami yakin kami tidak bersalah dalam kes ini. Media banyak memanipulasi isu ini, tetapi kami percaya kepada sistem keadilan dan proses mahkamah untuk membersihkan nama kami,” katanya.

Beliau turut menegaskan prinsip keadilan bahawa seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Kami tidak mahu perkara ini mengganggu tanggungjawab kami sebagai wakil rakyat. Fokus kami tetap untuk berkhidmat kepada rakyat dan menjalankan tugas seperti biasa,” tambah Yusof.

Sementara itu, Andi yang juga Ahli Parlimen Kalabakan turut menyuarakan pendirian sama.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak bersalah dan akan mengikuti sepenuhnya prosedur undang-undang. Saya menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang negara dan yakin proses perundangan akan berjalan dengan telus,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan komitmennya untuk terus melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat walaupun berdepan pertuduhan.

“Saya akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Itu adalah keutamaan saya buat masa ini,” katanya ketika ditanya statusnya sebagai pembantu menteri.

Dalam masa sama, beliau memilih untuk tidak memberi sebarang komen lanjut mengenai kedudukannya dalam pentadbiran negeri dan menyatakan kesediaan untuk menerima arahan selanjutnya.

Pertuduhan ke atas kedua-dua ADUN ini berkait dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap skandal perlombongan di Sabah yang sedang dalam perhatian umum.

Pada masa sama, seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Datuk Tei Jiann Cheing atau Albert Tei turut didakwa di mahkamah hari ini atas kesalahan memberi rasuah melibatkan urusan perolehan lesen perlombongan mineral di Sabah.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah dan mahkamah memutuskan bahawa 5 Ogos 2025 adalah tarikh sebutan semula kes.