TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Apas terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bahagian paling aktif dan berkembang pesat apabila kini mencatat lebih 11,000 ahli berdaftar, menjadikannya antara yang tertinggi di Sabah selepas Sulaman dan Kawang.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Apas merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, ketika berucap pada Persidangan Tahunan Bahagian Apas yang berlangsung baru-baru ini.
Menurut Nizam, angka tersebut melibatkan hampir 10,000 pengundi berdaftar dalam DUN Apas, sekali gus membuktikan bahawa Gagasan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat Sabah, khususnya di kawasan pantai timur negeri ini.
“Pencapaian ini adalah bukti nyata bahawa Gagasan Rakyat semakin diterima rakyat. Ia hasil kerja keras barisan kepimpinan bahagian dan sokongan padu dari ahli-ahli akar umbi,” katanya.
Tambah beliau, Gagasan Rakyat Apas kini mempunyai 180 cawangan yang telah didaftarkan, dan tiga lagi cawangan baharu dalam proses pendaftaran yang sekali gus menjadikan Apas sebagai antara bahagian dengan jumlah cawangan tertinggi dalam parti.
Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa jentera parti di peringkat akar umbi sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
“Semua bilik gerakan di peringkat Pusat Daerah Mengundi telah dikenal pasti dan bersedia untuk diaktifkan. Kita hanya menunggu isyarat,” ujar beliau.
Pencapaian Gagasan Rakyat Apas ini dilihat sebagai cerminan kepada gelombang sokongan rakyat terhadap kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), khususnya dalam mendukung agenda pembangunan mampan dan kestabilan politik negeri.
Untuk rekod, Nizam turut memaklumkan bahawa setakat ini, Gagasan Rakyat yang menjadi parti tunjang dalam GRS, secara keseluruhan mencatatkan keahlian seramai lebih 350,000.






