Lelaki Dikhuatiri Hilang Ketika Jalan Kaki Pulang Rumah dari Beluran ke Telupid

Lelaki Dikhuatiri Hilang Ketika Jalan Kaki Pulang Rumah dari Beluran ke Telupid

0
SHARE

BELURAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai berjalan kaki dari Kampung Sinaputan, Beluran menuju ke rumahnya di Kampung Ansuan, Telupid sejak lebih seminggu lalu.

Menurut kenyataan rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, bilik kawalan BBP Beluran menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada pihak Balai Polis Beluran sekitar jam 10.19 pagi tadi.

“Mangsa dikenali sebagai Mansius Yahsu, 39 tahun, dilaporkan hilang sejak 24 Jun lalu selepas pulang melawat ibunya di Kampung Sinaputan. 

“Adik mangsa memaklumkan bahawa Mansius tidak pernah tiba di rumah mereka di Telupid hingga ke hari ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan ahli keluarga,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran yang diketuai oleh PBK I Arsad Kadir bersama tiga anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Jarak dari balai ke lokasi kejadian adalah sekitar 76 kilometer, dan operasi dijalankan menggunakan jentera pacuan empat roda Hilux.

Setakat kenyataan ini dikeluarkan, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih berjalan.

JBPM Sabah memaklumkan bahawa sebarang perkembangan lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa atau menghubungi Ketua Balai BBP Beluran, Edoen Macheal di talian 018-7699713.

JBPM turut menyeru masyarakat agar sentiasa memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga, terutamanya ketika merentas kawasan hutan atau laluan terpencil, bagi mengelakkan insiden seumpama ini.