KOTA KINABALU: “Kita perlu berfikir sendiri, ikut identiti Sabah, bukan apa orang luar kata betul,” kata Datuk Seri Masidi Manjun, yang menyeru rakyat Sabah agar mencapai kemerdekaan di minda bukan sekadar fizikal.
Bercakap di Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah di SICC pada Sabtu, beliau menegaskan masa depan Sabah tak boleh terus bergantung pada pengaruh luar.
“Kita kena cukup sayang tanah ini untuk bentuk halatuju sendiri dengan nilai, rentak dan suara kita sendiri,” Timbalan Pengerusi parti itu.
Masidi menyifatkannyalirik lagu Sabah Tanah Airku, “merdeka sepanjang masa” sebagai visi lama yang perlu dihidupkan semula.
Beliau berkata ramai mengagumi kestabilan politik dan pembangunan Sarawak, tapi untuk capai tahap itu, Sabah perlu mengubah cara berfikir.
“Kalau mahu jadi macam Sarawak, kita kena fikir dan bertindak macam orang Sarawak. Masalah kita ialah terlalu kerap tukar kerajaan.”
”Sarawak hanya pernah ada enam Premier, tetapi Sabah sudah 16 Ketua Menteri,” katanya.
Beliau menyokong had dua penggal Ketua Menteri dan berkata ia disokong Kabinet secara prinsip, namun masih perlukan majoriti dua pertiga DUN.
“Macam mana mahu maju kalau asyik mula dari kosong setiap kali tukar kerajaan?”
“Sabah tidak kurang sumber atau bakat, tapi kekurangan kerjasama tanpa ego. Semua mahu menang, tapi tidak semua mahu bekerja.
“Kalau politik terus tentang siapa menang, siapa kalah, kita tidak akan bersatu. Politik bukan tentang siapa paling berkuasa, tapi siapa paling sanggup bekerja,” katanya.






