PENAMPANG: Seorang wanita berusia 38 tahun maut manakala anak lelakinya yang berusia setahun lima bulan cedera selepas dipercayai dilanggar lari di Jalan Kampung Kimbabangan sini sekitar jam 7.30 malam Ahad (27 Julai).
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada jam 3.15 pagi keesokan hari, manakala anaknya kini dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Kanak-Kanak Likas.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kami mohon saksi kejadian atau sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kenderaan terlibat agar tampil membantu siasatan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis Trafik IPD Penampang atau terus menghubungi Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.






