KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di sembilan negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan sehingga jam 9 malam ini.
Amaran yang dikeluarkan pada jam 6 petang itu menjangkakan cuaca buruk akan membabitkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Bagi negeri Sabah, kawasan yang dijangka terlibat termasuklah di kawasan pedalaman seperti Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau, seterusnya Pantai Barat Papar dan Kudat.
Kawasan di Labuan turut dijangka terkesan dengan keadaan cuaca yang sama.
Dalam kenyataan sama, METMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda pembentukan awan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang berpotensi berlaku dalam tempoh melebihi sejam.
Amaran ini merupakan amaran jangka pendek dan hanya sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan menangguhkan sebarang aktiviti luar yang melibatkan kawasan terbuka atau berisiko tinggi, termasuk di kawasan berbukit, lembah dan berdekatan sungai.
Cuaca buruk ini juga boleh menyebabkan kejadian banjir kilat, tanah runtuh serta pokok tumbang sekiranya angin kencang berlaku dalam tempoh yang panjang.
Sebarang maklumat lanjut dan perkembangan terkini boleh diikuti melalui laman web rasmi METMalaysia, saluran media sosial atau aplikasi mudah alih *myCuaca*.






