KLANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lapan flat kediamannya di Flat Sri Perantau, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 7.45 pagi itu, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan darah di bahagian kepala oleh penduduk sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Zon Merah hospital tersebut.
Menurut maklumat awal, mangsa merupakan anak sulung daripada dua beradik dan ibunya difahamkan seorang guru pelatih manakala bapanya bekerja di pelabuhan.
Memetik MyNewsHub, jiran yang ditemui berkata, mereka terdengar satu bunyi hentakan kuat diikuti jeritan penduduk yang panik sebelum ambulans tiba untuk memberikan bantuan kecemasan.
Abang angkat mangsa yang turut ditemui memaklumkan bahawa sejak seminggu lalu, mangsa menunjukkan perubahan sikap menjadi lebih manja dan sering mahu berada bersama keluarga.
Malah, katanya, mereka sekeluarga sedang merancang untuk menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-5 pada Oktober nanti.
Polis telah mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa satu kenyataan media rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi menjelaskan butiran lanjut insiden berkenaan.






