KOTA KINABALU: Dua peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir hari ini tampil mengecam siasatan awal kematian remaja itu yang didakwa penuh kecacatan dan kepincangan serius.
Dalam kenyataan media, peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri mendakwa siasatan yang dijalankan terlalu ‘sempit’ dengan tiada bedah siasat dilakukan, barang peribadi mangsa tidak dirampas untuk siasatan, dan keterangan penting hanya diambil pada saat akhir.
Lebih membimbangkan, mereka mendakwa wujud kebocoran dalam fail siasatan apabila kandungan kononnya diari Zara tersebar di media sosial, membentuk naratif jahat konon remaja itu membunuh diri kerana tekanan dari ibunya.
“Menggunakan maklumat sulit untuk memburukkan imej Zara dan ibunya adalah pencabulan terhadap integriti siasatan,” tegas mereka.
Sehubungan itu, satu surat rasmi telah dihantar kepada Peguam Negara, menuntut agar siasatan dibuka semula oleh pegawai dari Bukit Aman, kubur Zara digali untuk bedah siasat, dan satu inkues mahkamah diadakan bagi menentukan punca sebenar kematian serta kewujudan unsur jenayah.
“Ibu Zara tidak mahukan simpati, dia hanya menuntut keadilan buat anaknya. Pakaian dan barang milik Zara kepada polis sebagai bukti,” kata mereka.
Kes ini telah mencetuskan solidariti besar-besaran, termasuk himpunan aman mahasiswa, pengumpulan tandatangan komuniti, serta puisi dan lagu mengenang Zara.
Namun orang ramai diingatkan agar tidak menyebar spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.






