Peguam Saksikan Keseluruhan Proses Bedah Siasat Jenazah Arwah Zara Selama 8 Jam...

Peguam Saksikan Keseluruhan Proses Bedah Siasat Jenazah Arwah Zara Selama 8 Jam Tanpa Makan, Minum

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Shahlan Jufri, mendedahkan bahawa beliau menyaksikan keseluruhan proses bedah siasat jenazah remaja berusia 13 tahun itu di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) selama lapan jam tanpa makan atau minum.

Ketika ditemui media semalam, beliau berkata, autopsi yang bermula kira-kira jam 11 pagi dan selesai sebelum 8 malam itu dilaksanakan dengan penuh teliti oleh pasukan forensik dan disaksikan secara langsung oleh beliau sebagai wakil keluarga.

Shahlan turut mengesahkan terdapat kecederaan fizikal pada tubuh Allahyarhamah, termasuk patah, namun enggan mendedahkan butiran lanjut kerana siasatan masih berjalan.

Beliau menegaskan proses tersebut dilaksanakan secara telus, profesional, dan bebas daripada sebarang campur tangan luar.

Selesai bedah siasat, jenazah telah dibawa terus ke tanah perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, untuk dikebumikan semula.

Mengulas tindakan susulan, Shahlan berkata, keluarga akan meneliti laporan penuh autopsi sebelum memutuskan sama ada akan memohon inkuiri rasmi.

Jika hasil siasatan memuaskan, inkuiri mungkin tidak diteruskan, namun jika sebaliknya, ia akan dijadikan fokus utama bagi mendapatkan keadilan untuk Allahyarhamah.