Peguam Anggap Pengambilalihan Siasatan Zara Langkah Positif

Peguam Anggap Pengambilalihan Siasatan Zara Langkah Positif

0
SHARE

KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menyifatkan langkah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil alih siasatan kes kematian remaja itu sebagai perkembangan positif dalam usaha mencari kebenaran.

Pengambilalihan ini selaras dengan antara permintaan keluarga yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 5 Ogos lalu.

Antara tuntutan tersebut termasuk membuka semula kertas siasatan, melantik pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, menggali semula kubur untuk bedah siasat baharu, serta mengadakan prosiding inkues bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah.

Dalam kenyataan bersama semalam, barisan peguam yang mewakili keluarga, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi, menzahirkan harapan agar perkembangan ini dapat membuktikan secara tuntas sama ada kematian Zara melibatkan perbuatan jenayah, seterusnya memberi keadilan kepada mangsa dan keluarganya.