MELAKA: Polis menumpaskan sindiket ‘Susu Borneo’ dengan penahanan empat suspek termasuk seorang wanita Sabah yang disyaki mencuri susu formula bayi dan kopi segera bernilai RM12,600 di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata suspek berusia 23 hingga 50 tahun iaitu tiga lelaki dan seorang wanita, termasuk dua warga tempatan dan sepasang warga Filipina diberkas di sebuah kondominium sewa di Kuala Lumpur, 10 Ogos lalu.
Polis merampas 72 kotak dan 15 paket susu formula, 12 tin susu kesihatan, 22 paket kopi, sebuah kereta, telefon bimbit, pakaian, topi, serta peralatan mencuri.
Siasatan mendapati sindiket yang berpangkalan di Sabah itu aktif sejak 2011, dengan modus operandi menyembunyikan susu formula dalam pakaian wanita terbabit, manakala rakan lain bertindak sebagai peninjau dan pemandu.
“Dalam minggu sebelum tangkapan, mereka dipercayai melakukan 12 kecurian di tiga negeri,” kata Christopher memetik Bernama.
Beliau mendedahkan tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah, mencuri dan mencederakan orang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.






