AGC: Pertuduhan Kes Zara Qairina Hanya Libatkan Perbuatan Buli, Inkues Tetap Diteruskan

AGC: Pertuduhan Kes Zara Qairina Hanya Libatkan Perbuatan Buli, Inkues Tetap Diteruskan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengeluarkan penjelasan lanjut berhubung keputusan mendakwa lima remaja yang terlibat dalam kes buli membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Dalam kenyataan media, AGC menegaskan bahawa pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan selepas penelitian terhadap kertas siasatan menunjukkan tuduhan itu hanya merujuk kepada perbuatan buli semata-mata dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan kematian pelajar berusia 13 tahun tersebut.

“Pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) dibuat kerana ia berkaitan dengan perbuatan buli sahaja, bukan punca kematian Zara Qairina,” jelas kenyataan itu.

AGC juga menolak cadangan peguam keluarga mangsa yang mahu pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

Menurut jabatan itu, cadangan berkenaan adalah bersifat spekulatif kerana tidak disokong dengan bukti dan fakta yang diperoleh hasil siasatan.

Sehubungan itu, AGC menegaskan bahawa keputusan mendakwa suspek kekal di bawah Seksyen 507C(1), manakala prosiding inkues tetap perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Allahyarhamah Zara Qairina.

Jabatan itu turut menekankan komitmennya untuk memastikan setiap tindakan undang-undang dibuat berdasarkan bukti kukuh, dengan matlamat menegakkan keadilan dalam kes yang mendapat perhatian luas masyarakat ini.