PN Buka Pintu Kerjasama Namun Warisan Kekal Solo di PRN Sabah

PN Buka Pintu Kerjasama Namun Warisan Kekal Solo di PRN Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, namun Warisan menegaskan akan bertanding secara solo.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PN akan bertanding atas tiket gabungan.

“Kita tidak akan bergerak secara solo kerana parti yang bertanding sendirian sudah tidak relevan… kemungkinan kerjasama dengan Warisan tetap ada kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku,” katanya memetik Sinar Harian.

Beliau turut mengesahkan Pas Sabah sedang mengenal pasti calon, namun keputusan muktamad ditentukan Pas Pusat.

“Pembahagian kerusi masih dalam rundingan… ia bergantung kepada kekuatan parti di Sabah.

“Kalau berjaya menang satu kerusi pun sudah dianggap kejayaan 100 peratus,” katanya

Namun, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman menolak spekulasi tersebut dengan tegas.

“Warisan akan bertanding dalam PRN17 secara bersendirian, menggunakan logo sendiri… tidak ada sebarang rundingan, perbincangan atau perjanjian dengan PN, GRS atau mana-mana gabungan politik lain,” katanya.

Beliau menyifatkan spekulasi pakatan pintu belakang sebagai tidak berasas dan menegaskan satu-satunya pakatan Warisan adalah bersama rakyat Sabah.

“Haluan kami jelas, bertanding secara solo dan menawarkan rakyat Sabah sebuah kerajaan yang mengutamakan kebajikan mereka berbanding kepentingan politik semata-mata,” tambahnya.