Asrama Pusat Kraftangan Sabah Keningau Telah Siap Sepenuhnya

Asrama Pusat Kraftangan Sabah Keningau Telah Siap Sepenuhnya

0
SHARE
Asrama
Asrama Pusat Kraftangan Sabah (PKS) di Keningau ( Sumber Foto: Ihsan KYS )

KOTA KINABALU, SABAH – Kumpulan Yayasan Sabah bergerak setapak lagi dalam membangunkan penduduk luar bandar negeri ini apabila Asrama Pusat Kraftangan Sabah (PKS) di Keningau telah siap sepenuhnya.

Menurut Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar, PKS di bawah seliaan Kumpulan Yayasan Sabah yang mula beroperasi pada tahun 2012 merupakan pusat sehenti bagi pengumpulan, latihan, pemasaran serta penyelidikan dan pembangunan kraf tangan.

PKS memberi fokus kepada peningkatan taraf kehidupan rakyat Malaysia di Sabah melalui Program Pembangunan Modal Insan di bawah Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah, melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Katanya, kumpulan sasar bagi program ini adalah masyarakat luar bandar dari seluruh Sabah yang mana PKS pada ketika itu tidak mempunyai fasiliti penginapan untuk peserta yang memerlukan penginapan.

“Maka dengan jumlah peningkatan pelatih setiap tahun, Kumpulan Yayasan Sabah mengambil inisiatif untuk mencadangkan kepada pihak ICU JPM bagi pembinaan Asrama PKS untuk menampung keperluan tersebut,” jelas beliau.

Susulan cadangan tersebut, pada tahun 2021, pihak ICU JPM telah meluluskan peruntukan bagi pembinaan asrama berkenaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey G Datuk Kitingan akan merasmikan asrama tersebut yang terletak di perkarangan PKS pada 24 Julai 2023.

“Asrama ini akan memberi manfaat penempatan kepada para pelatih yang mengikuti kursus dibawah kendalian PKS.

“Selain itu, dengan adanya asrama ini, ianya akan lebih menarik minat para pelatih dari luar daerah Keningau untuk mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh PKS kelak.

“Penglibatan Kumpulan Yayasan Sabah dalam bidang kraf tangan sebenarnya adalah seiring dengan salah satu objektifnya iaitu untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negeri Sabah,” katanya.

Seiring dengan objektif ini, industri kraf tangan telah menjadi antara fokus Kumpulan Yayasan Sabah dalam memajukan masyarakat luar bandar berikutan potensi serta kekuatan yang terdapat di dalam industri berkenaan.

“Bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas dana yang disediakan untuk pembinaan asrama ini.

“Ini menunjukkan keperihatinan dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan infrastruktur yang diperlukan dalam membangunkan industri kraf tangan di negeri ini.

“Kumpulan Yayasan Sabah juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya kerana telah menyelia projek ini dengan rapi demi memastikan ianya siap sepertimana dalam jadual kerja,” katanya.

Kumpulan Yayasan Sabah yakin asrama terbabit akan memudahkan PKS untuk melaksanakan kursus-kursus secara insitut dan secara tidak langsung sebagai pemangkin dalam memajukan industri kraf tangan di negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.