KOTA KINABALU, SABAH – Beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar Sabah akan mula ditutup bagi menumpu kepada program jangkauan luar (mobile outreach) ke kawasan pedalaman negeri.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata ini berikutan sejumlah besar penduduk Sabah yang telah pun divaksin dan seterusnya kekurangan pengunjung ke PPV.
“Ideanya adalah untuk menggerak lebih ramai petugas kesihatan dalam melaksanakan program jangkauan. Ini akan lebih mengoptimumkan tenaga kerja kita,” kata Timbalan Ketua Menteri itu ketika ditemui.
Namun beliau tidak mengulas lanjut tentang jumlah PPV, kakitangan yang terlibat ataupun tarikh bermula rancangan tersebut.
Tetapi katanya, Kerajaan Negeri akan lebih mengutamakan program jangkaun bagi memberikan vaksin kepada penduduk dari kawasan yang sukar diakses.
Masidi turut menjelaskan percanggahan statistik penduduk Sabah yang telah divaksin antara Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
Menurut Kerajaan Negeri, sejumlah 63.5 peratus (63.5%) penduduk dewasa Sabah telah lengkap divaksin manakala Putrajaya berkata jumlah itu hanyalah pada 59.5 peratus (59.5%).
“Kita (Kerajaan Negeri) lebih terkemas kini. Ia mengambil masa untuk mereka mengumpul data tapi maklumat itu di bawah batang hidung kami…
“Kami yang mengurus data tersebut dari itulah kami tahu jumlah sebenar,” katanya.