PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terbabas lalu tercampak ke dalam longkang pembinaan dalam kemalangan di Jalan Pintas Penampang, berhampiran Bulatan Datuk Peter Mojuntin, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kemalangan kira-kira jam 12.50 tengah malam itu berlaku apabila motosikal mangsa bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Plaza 333 menuju Kota Kinabalu.
“Akibat pergeselan tersebut, motosikal terbabas sejauh kira-kira 30 meter sebelum mangsa tercampak ke dalam longkang di bahu jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandu dan penumpang pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
“Polis menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa memandu serta mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” tambahnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133 atau tampil di Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik, IPD Penampang.






