KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan bahawa tuduhan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor adalah tidak berasas dan bermotif politik.
Menurutnya, dakwaan kononnya Hajiji gagal membawa pembangunan adalah bercanggah dengan fakta sebenar.
“Antara 2021 hingga 2024, Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai RM35.38 bilion melibatkan 420 projek, pencapaian yang tidak pernah dicapai ketika pentadbiran terdahulu.
“Pelaburan itu telah membuka peluang pekerjaan baharu dalam sektor minyak & gas, pelancongan, pertanian hiliran serta industri teknologi.
“Manakala, isu jalan raya, air dan elektrik adalah masalah legasi berpuluh tahun yang diwarisi daripada kerajaan lama, termasuk semasa UMNO menjadi sebahagian daripada pentadbiran.
“Sejak 2021, kerajaan negeri di bawah SMJ telah melaksanakan pelbagai projek menaik taraf infrastruktur asas, membina empangan baharu serta bekerjasama dengan Sabah Electricity (SE) dan TNB untuk menstabilkan bekalan elektrik,” jelasnya.
Berhubung dakwaan skandal lesen mineral, Nizam menegaskan bahawa perkara itu telah dijawab secara rasmi oleh Sabah Mineral Management (SMM) dan Jabatan Tanah dan Ukur.
“Tiada lesen carigali dikeluarkan kepada mana-mana syarikat. Malah, SMM telah mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan palsu tersebut,” katanya.
Mengulas kenyataan Suhaimi yang menyuruh Hajiji “berehat”, Nizam menyifatkannya sebagai retorik politik murahan.
Katanya, kepimpinan Hajiji telah berjaya mengembalikan keyakinan pelabur, memperkukuh hasil negeri termasuk melalui penyertaan langsung dalam Petronas, serta meletakkan Sabah kembali di landasan pembangunan.
“Rakyat tahu siapa yang meninggalkan hutang dan masalah struktur, dan siapa yang kini membawa kestabilan serta pembangunan mapan untuk negeri,” tegas Nizam.






