JOHOR BAHRU – Seorang nenek bersama seorang menantu lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menganiaya seorang remaja perempuan berusia 20 tahun sejak tujuh tahun lepas.
Nor Azaizah Badang, 56, yang merupakan nenek kepada mangsa dan bapa saudara mangsa Maswandi Omar, 35, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.
Kedua-dua tertuduh yang menjaga mangsa sejak dia berusia 13 tahun, didakwa melakukan penganiayaan itu di sebuah rumah di Jalan Padi Huma 9, Bandar Baru Uda di sini, antara 2010 dan Mei tahun ini.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali menawarkan jaminan RM20,000 terhadap setiap tertuduh.
Bagaimanapun, Peguam Nor Shahid Abd Malik yang mewakili Noor Azaizah memohon jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya membantu rakan berniaga nasi lemak dengan pendapatan antara RM500 hingga RM600 sebulan selain perlu menanggung seorang anak yang masih di Tingkatan Empat.
– Bernama