Sokong Cadangan Wujudkan ‘Zara Law’ di Sabah – Robert

Sokong Cadangan Wujudkan ‘Zara Law’ di Sabah – Robert

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan menggubal Ordinan Anti Buli di Sabah atau dikenali sebagai Zara Law bagi menangani isu buli yang semakin serius di negeri ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya undang-undang khusus diwujudkan bukan sahaja untuk membendung buli di sekolah, tetapi juga di jabatan kerajaan, tadika, tabika dan semua peringkat masyarakat.

“Budaya buli semakin meruncing dan isu Allahyarham Zara sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa membuli adalah jenayah. Pelaku wajar dikenakan hukuman setimpal,” katanya ketika mengulas cadangan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Robert menegaskan buli tidak boleh lagi dianggap kes terpencil kerana ia memberi kesan besar terhadap kesihatan mental dan pencapaian akademik mangsa.

Beliau turut menyambut baik pandangan Dr Jeffrey bahawa Sabah boleh mengambil langkah sendiri dengan menggubal ordinan khas melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya kerajaan Persekutuan belum bersedia.

“Sabah boleh mencadangkan ordinan ini di DUN dengan memperincikan segala aspek berkaitan buli sebelum digazetkan.

”Ini penting untuk melindungi generasi muda dan memastikan tragedi seperti menimpa Allahyarham Zara tidak berulang,” katanya.