Pembentukan Federasi Mampu Jadikan Gerakan Koperasi Bergerak Secara Bersepadu

Pembentukan Federasi Mampu Jadikan Gerakan Koperasi Bergerak Secara Bersepadu

0
SHARE
Zahid
Ahmad Zahid melakukan gimik pelancaran Majlis Penutupan Bulan Koperasi Kebangsaan bertempat di Hotel Le Meridien ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan koperasi mampu bergerak secara bersepadu melalui pembentukan federasi iaitu menerusi model perniagaan penggabungan koperasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gerakan koperasi telah berjaya menjadi penyumbang ketiga kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta.

Menurutnya, ini terbukti apabila seramai 7.3 juta ahli koperasi yang didaftarkan serta jumlah syer dan yuran yang terkumpul direkodkan sebanyak RM16.5 bilion.

Sehubungan dengan itu, dengan pembentukan federasi, sektor koperasi mempunyai potensi besar untuk meningkatkan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kita boleh mengambil contoh gabungan koperasi pertanian di Korea iaitu Federasi Koperasi Pertanian Kebangsaan (NACF) yang menjadi organisasi puncak bagi 1,118
koperasi dengan gabungan keahlian seramai 2.1 juta petani.

“Petani ini merupakan pemilik, pengguna dan
pengawal koperasi mereka. Federasi
tersebut menyokong koperasi anggota
dengan menyediakan sistem koperasi
untuk petani Korea yang majoritinya
mengalami masalah kapasiti pengeluaran yang lemah dan sumber kewangan yang tidak mencukupi.

“Federasi tersebut telah berjaya memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Korea dan berkembang menjadi salah satu koperasi paling berjaya di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Bulan Koperasi Kebangsaan bertempat di Hotel Le Meridien, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata pihaknya yakin sekiranya semua koperasi dapat bergabung melalui federasi, jaminan keselamatan makanan negara akan diperkukuhkan dan mengimbangi kos harga makanan yang semakin meningkat.

“Ini kerana model perniagaan melalui penggabungan koperasi bukan hanya dapat
meningkatkan keupayaan pengeluaran
produk dan perkhidmatan gerakan koperasi melalui ekonomi skala.

“Malahan juga boleh memendekkan rantaian bekalan dengan mengurangkan peranan dan penglibatan orang tengah.

“Justeru, saya menyeru gerakan koperasi negara agar bergerak secara bersepadu untuk membantu kerajaan dalam agenda
menoktahkan kemiskinan tegar sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.