KENINGAU: Bekas Guru Besar Cemerlang Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles menegaskan gejala buli di sekolah tidak boleh dipandang ringan dan perlu segera dibendung melalui kerjasama erat semua pihak, khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), agensi keselamatan serta komuniti setempat.
“Sekolah tidak mampu memikul tanggungjawab ini sendirian. Usaha pencegahan perlu melibatkan semua pihak agar budaya buli tidak berakar umbi dalam kalangan pelajar,” katanya.
Yazid yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar menyemak semula Akta Pendidikan dengan memasukkan buli sebagai kesalahan berat, selain memperkukuh mekanisme penguatkuasaan disiplin.
Beliau turut mencadangkan jawatan khas diwujudkan di sekolah bagi mengurus disiplin tanpa membebankan guru, manakala peranan warden asrama lebih sesuai dipikul individu bukan pendidik supaya guru dapat memberi tumpuan penuh kepada pengajaran.
Katanya lagi, program pendidikan sahsiah, kempen kesedaran, sesi kaunseling dan bimbingan rakan sebaya perlu diperkasakan, di samping penggunaan teknologi seperti talian aduan khas atau aplikasi mudah alih untuk melaporkan kes buli dengan pantas dan selamat.
“Langkah-langkah ini penting untuk melindungi keselamatan pelajar serta memastikan sekolah terus menjadi tempat yang kondusif dan menyeronokkan untuk pembelajaran,” jelasnya.
Beliau mengingatkan bahawa lebih 3,000 kes buli dilaporkan di sekolah pada tahun 2023 menurut data KPM, manakala PDRM turut merekodkan peningkatan aduan buli remaja, membuktikan isu ini semakin membimbangkan dan wajar ditangani segera.






